top of page
Search
iiumjournalismclub

Pit Stop Ramadan; Suntikan Semangat Baru

By: Riyadh


Penduduk dunia kini sedang keresahan menghadapi pandemik yang meragut nyawa, meskipun begitu umat Islam sangat beruntung kerana Allah masih lagi menghadirkan Ramadan dan memberi peluang kepada kita untuk mencari ketenangan dengan kembali kepada-Nya. Ramadan hadir sebagai peluang terbaik untuk kita menggandakan amal-amal soleh walaupun perintah kawalan pergerakan mengehadkan langkah kita.



Ustaz Anas Mokhtar dalam kuliah Tazkiyatun Nafs yang dianjurkan oleh Kelab Kewartawanan UIAM (Journalism Club) pada 8 April 2021 dengan tajuk ‘Starter Kit Ramadan; Bersediakah Kita?’ ada menyebutkan beberapa persiapan yang perlu kita lakukan agar Ramadan tidak berlalu dengan sia-sia. Meskipun 13 hari Ramadan telah berlalu, kita masih boleh cuba mengaplikasikan tips yang dikongsikan ini sebagai salah satu cara untuk menghidupkan semula semangat Ramadan sekali gus memaksimakan momentum kita untuk mencapai malam yang lebih baik daripada seribu bulan; Lailatul Qadr.


Antara persediaaan ataupun langkah yang boleh diambil adalah seperti berikut:


1. Memperbaiki niat

Kita perlu mengikhlaskan diri untuk bertemu Ramadan. Caranya adalah dengan berniat untuk menjalani Ramadan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sebelum ini kita beranggapan bahawa kedatangan Ramadan adalah satu kebiasaan pada setiap tahun, kali ini kita perlu mengubah kebiasaan tersebut dengan merasakan bahawa Ramadan yang bakal kita jalani merupakan Ramadan yang terakhir.

Anggapan sedemikian akan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Hal ini kerana, seseorang yang diberikan peluang terakhir akan memanfaatkan peluang tersebut untuk beramal sebaik mungkin dan sering melazimi taubat kepada Allah. Akan tetapi, memperbaiki niat bukanlah perkara yang mudah kerana perjalanan untuk mencapai ketakwaan kepada Allah sering dipenuhi dengan onak dan duri.


Imam Sufyan bin Sa’id ats-Tsauri berkata:

“Tidaklah aku berusaha memperbaiki sesuatu (dalam diriku) yang lebih sulit bagiku daripada (memperbaiki) niatku (supaya ikhlas)”


Namun, setiap kesusahan yang kita hadapi dalam usaha menjaga niat supaya kekal ikhlas, Allah pasti akan berikan ganjaran pahala kebaikan buat kita. Rasulullah juga mengajarkan doa memohon agar kita ditetapkan hati,


يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِينِكَ

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di jalan agama-Mu


2. Banyakkan berdoa

Sebagai seorang yang beriman, kita perlu sentiasa berdoa kepada Allah pada setiap masa dan keadaan. Allah menyeru kepada kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:


وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah al-Ghafir: 60)


Sebelum Ramadan, kita dituntut untuk berdoa agar dipertemukan dengan Ramadan. Apabila masuknya bulan Rejab, kita boleh memohon kepada Allah agar memberkati kita dengan berdoa,


اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.


Ma’la Bin Fadhal berkata: “Dahulu Sahabat Rasulullah berdoa kepada Allah enam bulan sebelum masuk bulan Ramadhan agar Allah sampaikan umur mereka ke bulan yang penuh berkah itu. Kemudian selama enam bulan setelah Ramadhan berlalu, mereka berdoa agar Allah menerima semua amalan ibadah mereka di bulan itu. Di antara doa mereka ialah : Ya Allah, sampaikan aku ke bulan Ramadan dalam keadaan selamat. Ya Allah, selamatkan aku semasa Ramadan dan selamatkan amal ibadahku di dalamnya sehingga menjadi amalan yang diterima” (Hadis riwayat at-Thabrani, 2/1226).


3. Memperbanyakkan bacaan al-Quran

Ramadan adalah bulan dimana Allah menurunkan al-Quran di dalamnya seperti firman Allah:


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, manjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah (Surah al-Baqarah: 185).


Anas bin Malik sahabat Rasulullah telah berkata:

“Keadaan orang-orang muslim apabila masuknya bulan Syaaban, mereka akan bersungguh-sungguh membaca Al-Quran dan menekuninya”.


Jika kita sudah terbiasa membaca al-Quran dan memperbanyakkan tilawah sebelum Ramadan, maka kita boleh membacanya dengan lebih banyak dan lebih lancar pada bulan Ramadan. Kebiasaan ini juga dapat membantu kita memahami dan mentadabbur al-Quran dengan lebih baik.

Generasi Salafus Soleh mampu mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadan di dalam dan luar solat. Al-Imam as-Syafie mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadan sebanyak dua kali dalam satu hari, dan beliau membacanya di luar solat. Al-Imam Abu Hanifah juga begitu. Al-Imam al-Bukhari mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan setiap siang harinya. Manakala sebelah malamnya, selepas solat tarawih, beliau akan khatam setiap tiga hari.


4. Bersedekah

“Adalah Rasulullah seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril bertemu dengannya. Adalah Jibril bertemu dengan Rasulullah pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk mengulagkaji al-Quran dan kemudiannya Rasulullah menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas”.

(Riwayat Al-Bukhari)


Sifat derwaman Rasulullah bertambah banyak lagi di bulan Ramadan. Bahkan, ulama’ hadis menggambarkan sifat suka bersedekah Rasulullah seperti angin yang berhembus. Salah satu sebab Rasulullah memberi teladan untuk lebih bersemangat dalam bersedekah di bulan Ramadan adalah kerana ganjaran bersedekah di bulan ini lebih dahsyat berbanding di bulan lainnya, sebagaimana digambarkan dalam sebuah hadis qudsi:


كل عمل ابن آدم له الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف

قال عز و جل : إلا الصيام فإنه لي و أنا الذي أجزي به

Setiap amal manusia akan diganjari kebaikan semisalnya sehingga 700 kali ganda. Allah swt berfirman: “kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya”.


Selain itu, kita juga boleh menambah pahala puasa Ramadan kita dengan mendapatkan pahala puasa orang lain iaitu dengan cara memberi makan hidangan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa. Rasulullah S.A.W bersabda:


من فطر صائما كان له مثل أجره، غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئ

Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya. (Riwayat at-Tirmizi)


Bagi memastikan kita mendapat pahala sedekah yang sempurna, hendaklah kita menyedekahkan harta yang paling kita sayangi atau yang setaraf dengannya. Ini bertepatan dengan firman Allah:


لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتّٰى تُنْفِقُوْا مِمَّا تُحِبُّوْنَ ۗ وَمَا تُنْفِقُوْا مِنْ شَيْءٍ فَاِنَّ اللّٰهَ بِهٖ عَلِيْمٌ.

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.

(Surah Ali-Imran: 92)


5. Qiamullail

Rasulullah S.A.W bersabda:


من قام رمضان إيماناً واحتساباً غُفر له ما تقدم من ذنبه

Barangsiapa yang solat malam di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap keredhaan Allah, maka akan diampuni dosanya yang lalu.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Qiamullail atau solat malam adalah solat yang dikerjakan setelah solat isyak sehingga terbit fajar. Oleh itu, mendirikan solat tarawih juga termasuk dalam qiamullail. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W yang bersabda:


مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَة

Barangsiapa yang menunaikan solat bersama imam sehingga selesai, maka ditulis untukya pahala qiam satu malam penuh. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)


Allah berfirman:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا

Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai satu ibadah) tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.

(Surah Al-Isra’: 79)


Ayat ini menunjukkan bahwa solat tahajud merupakan kewajipan tambahan bagi orang yang beriman. Solat tahajud akan menambah kedudukan dan meninggikan darjat orang yang beriman di sisi Allah. Tambahan pula, pada bulan Ramadan Allah menyediakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam ini dikenali sebagai Lailatul Qadr.

Dalam usaha kita agar dipertemukan dengan malam al-Qadr, kita perlu melazimi qiamullail sejak hari pertama dalam bulan Ramadan. Meskipun kadang-kadang kita sukar untuk istiqamah, usah risau, Allah sentiasa menilai usaha hamba-Nya yang mendekatkan diri kepada-Nya.

Semoga amal ibadah yang kita lakukan sepanjang Ramadan diterima oleh Allah. Mudah-mudahan kita peroleh takwa dan mendapat keampunan Allah seperti yang disebutkan dalam hadis Nabi S.A.W,

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah serta mengharapkan keredhaan-Nya, maka akan diampunkan semua dosanya yang lalu.

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

53 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page