top of page

PROGRAM REPORT

Activities: Past Events

INDUCTION 20/21 [MALAY]

May 24, 2020
Written by: Nur Athirah binti Zaki

Semester baru telah pun bermula bagi pelajar-pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 3 Februari yang lalu. Para pelajar mula sibuk menguruskan perkara-perkara peribadi berkaitan dengan pelajaran khususnya pada minggu pertama pembelajaran. Tidak kurang juga buat mereka yang bergiat aktif dalam kelab atau persatuan di universiti ini. Masing-masing mula merangka aktiviti tahunan yang bakal dijalankan pada semester tersebut. Seperti kebiasaannya, setiap kelab atau persatuan mula mengadakan aktiviti pertama mereka pada semester itu dengan sesi Induksi sesama ahli bagi mengeratkan hubungan sesama mereka. Begitu juga dengan kami.

Program “Induction IIUM Journalism Club (JC)” yang bertempat di Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga telah diadakan dengan jayanya. Program ini telah berlangsung selama 3 hari bermula daripada 28 Februari 2020 sehingga 1 Mac 2020. Ia melibatkan seramai 30 orang ahli IIUM Journalism Club yang menyertai program ini.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli JC dan juga menerapkan sifat kepimpinan dalam diri setiap ahli kelab kami. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menerangkan skop tugasan dan merangka segala aktviti yang bakal berlangsung mengikut biro sepanjang tenure ini.

Kejayaan dan kelancaran program Induksi ini juga adalah dengan kewujudan pelbagai aktiviti menarik yang dirangka khas oleh biro modul sepanjang program ini berlangsung. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah aktiviti berkumpulan, sesi perkongsian bersama alumni JC, perancangan aktiviti tahunan dan banyak lagi.

Jelas terpacar seri keceriaan pada wajah setiap ahli apabila menyertai aktiviti-aktiviti yang disusun sepanjang program ini dijalankan. Program ini telah dimulakan dengan sesi Heart Setting oleh Br. Ahmad Widad. Seperti yang kita maklum, sesi Heart Setting merupakan elemen yang sangat penting dalam melancarkan sesuatu program kerana padanya terdapat beberapa peringatan dan pesanan yang bakal dikongsikan supaya objektif sebenar sesuatu program itu tercapai dan juga menyuntik kembali kesedaran pada diri setiap ahli tentang ‘big why’ kewujudan sesuatu program itu dilakukan.

Br. Widad memulakan perkongsiannya dengan mengajak setiap ahli untuk memperbaharui niat untuk melakukan sesuatu hanyalah kerana Allah Taala dengan menyertakan sepotong hadis yang tidak asing lagi dengan mafhumnya: “Sesungguhnya setiap amal haruslah berdasarkan dengan niat…”. Sebagai muslim, tentunya kita tahu bahawa hanya sesuatu amalan yang ikhlas sahaja yang akan dicatat sebagai bukti amalan kebaikan di dunia ini. Tanpa keikhlasan segalanya menjadi sia-sia. Maka, ikhlaskan niat dalam melakukan sesuatu perkara itu merupakan sebuah perkara yang mesti dilakukan oleh setiap insan. Ikhlas akan membawa kepada jelasnya sesuatu matlamat dan pastinya matlamat utama kita adalah untuk meraih keredhaan Allah swt. Beliau juga banyak menekankan konsep HDA + HDM dalam perkongsiannya.

Kata beliau, kehidupan dunia ini terlalu rumit; punya pelbagai liku yang harus ditempuhi. Maka, satu-satunya jalan untuk merempuh segala halangan didunia ini hanyalah dengan memohon kekuatan daripada Allah. Kata orang, HDA harus dijaga. Beliau juga mengajak ahli JC untuk sama-sama merasai segala kenikmatan apabila Allah sentiasa bersama. Sebagai contoh, dikala kesusahan menimpa Allah ada, dikala kebahagiaan menjelma Allah ada, dikala kesakitan terasa Allah jua ada. Ditiap perkara kita lakukan, kita meyakini bahawa Allah ada bersama kita untuk membantu dan menguatkan. Maka, mintalah kepada Allah dengan penuh rasa lemah dan yakin tanpa meraguiNya. Begitu juga dengan HDM (Hubungan dengan Manusia). Tiadalah redha Allah tanpa redha manusia didunia. Perlulah keatas kita untuk menjaga keduanya sebagai penolong dalam perjalanan menuju alam kekal sana. Kita hendaklah saling menasihati, mengasihani diwaktu susah mahupun senang. Beliau mengakhiri perkongsiannya dengan mengajak semua ahli untuk terus bersemangat dalam melakukan sesuatu kebaikan diatas jalan yang haq ini semampunya kerana setiap usaha itu dinilai disisi Allah Taala. Beliau menutup kata dengan membaca sepotong ayat Al-Quran daripada surah at-Taubah: 41.

Seterusnya, program telah diteruskan dengan beberapa aktiviti Ice Breaking memandangkan ada dikalangan kami yang masih belum mengenali antara satu sama lain. Aktiviti Ice Breaking ini telah dipecahkan kepada 2 kumpulan besar yang mengasingkan brothers dan sisters dan ditempatkan keduanya ditempat yang berbeza untuk memberi sedikit keselesaan dan mengelakkan daripada apa-apa yang tidak diingini berlaku. (Oh ya, brothers sisters ini merupakan panggilan rasmi kami di UIAM).

Antara game yang telah kami nikmati dengan bahagianya adalah permainan taaruf dengan menyatakan perkara yang disukai, teka gaya berpandukan peribahasa, membentuk pasukan mengikut 6 jenis perwatakan yang berbeza, permainan werewolf dan banyaaaak lagi. Setiap permainan yang disediakan oleh biro modul mempunyai objektif yang tersendiri. Secara kasarnya, ia melatih kepercayaan dan keyakinan, membentuk kesatuan dan keharmonian, mengasah bakat dan kepimpinan dalam kalangan ahli IIUM Journalism Club.

Program Induksi ini juga turut disajikan dengan perkongsian oleh barisan Alumni IIUM Journalism Club yang telah lama berada dalam bidang ini. Antara ahli panel yang menjadi jemputan kami ialah Br. Afiq, Br. Khalid Al-Walid, Sr. Hafizah dan juga Sr. Nik Hanis selaku moderator. Mereka berkongsi sedikit sebanyak pengalaman jatuh bangun serta asam garam ketika memimpin kelab ini dan juga beberapa nasihat sekaligus cadangan untuk meningkatkan kualiti dalam kelab ini. Mereka sangat memberi inspirasi kepada kami selaku adik-adik supaya terus bersemangat dan bergiat aktif dalam mencapai matlamat yang diingini dalam meneruskan legasi kelab ini.

Maka, aktiviti bagi program Induksi ini diakhiri dengan perbincangan mengikut biro dan pembentangan almanac oleh MB IIUM Journalism Club. Perbincangan mengikut biro berjalan dengan lancar dengan kewujudan ahli kelab yang kreatif dan inovatif serta bantuan daripada MB yang memegang setiap biro dalam organisasi tersebut. Mereka membincangkan aktiviti-aktiviti yang bakal dilangsungkan dan memberi beberapa cadangan sebagai penambahbaikkan supaya dapat diaplikasi pada tenure ini. Hasil musyawarah daripada MB kelab ini, setiausaha dan bendahari telah merangka almanac dan bajet yang bakal diperuntukkan untuk setiap aktiviti yang dijalankan.

Program Induksi IIUM Journalism Club ini diakhiri dengan sesi bergambar untuk dijadikan sebagai kenangan terindah yang tercatat di memori setiap ahli. Semoga program Induksi ini sedikit sebanyak dapat membantu kelancaran proram-program yang bakal diadakan pada masa akan datang.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program “Induction IIUM Journalism Club 20/21”. Semoga Allah memberkati setiap usaha dan dipermudahkan segala urusan.

“Enriching Dakwah Through Media”

CONTESTS

“O YOU WHO HAVE BELIEVED, PERSEVERE AND ENDURE AND REMAIN STATIONED AND FEAR ALLAH THAT YOU MAY BE SUCCESSFUL.“

 [Quran: Surah Ali-Imran 3: Ayah 200]

Activities: Projects
Penulisan Kritis.jpg

CRITICAL WRITING CHALLENGE

with Syed Ahmad Fathi, the author of Berfikir Tentang Pemikiran

JC GALLERY

Activities: Image
Activities: Pro Gallery
bottom of page