“Rasiskah aku Menjadi Nasionalis”, saya kira ia adalah satu tajuk yang agak berat dan sering bermain di fikiran tatkala mendengar tajuk ini pertama kali kerana pada pendirian saya tidak salah untuk menjadi seorang nasionalis. Hal ini disebabkan oleh, seharusnya menjadi kewajipan ke atas setiap warganegara untuk memiliki sifat berkenaan. Di samping itu, tajuk ini juga agak kelihatan negatif seolah - seolah menjadi nasionalis akan menyebabkan seseorang itu bersifat rasis walhal, perkataan nasionalis banyak disebut dalam buku sejarah Tingkatan 2 tentang perjuangan nenek moyang kita membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah sehingga mereka digelar tokoh nasionalis dan ketika itu, kita diminta untuk mencontohi mereka yang sanggup berkorban demi negara. Oleh itu, nasionalis sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang baik dan memberi manfaat kepada negara.
Namun begitu, saya juga terfikir adakah nasionalisme membawa maksud yang berbeza dengan patriotisme kerana amat jarang sekali kita dengar tentang semangat nasionalis yang patut dipupuk kepada setiap warganegara namun yang selalu kita dengar apatah lagi dalam bulan kemerdekaan adalah untuk memupuk semangat patriotik dalam setiap warganegara. Menurut Kamus Dewan, nasionalisme ialah perasaan cintakan bangsa sendiri yang mendalam, perasaan mencintai negara dan bangsa sendiri, semangat kebangsaan, pergerakan membebaskan ekonomi negeri dari kuasa asing. Manakala patriotisme berasal daripada perkataan Yunani, Pater bermaksud father dan patris bererti land, apabila digabungkan kedua dua suku kata ini membawa maksud the love of a fatherland atau dalam Bahasa Melayu bermaksud kecintaan pada ibu pertiwi. Justeru, berdasarkan definisi tersebut, saya merasakan nasionalisme agak radikal sedikit berbanding patriotisme kerana nationalisme merupakan sebuah gerakan kesedaran untuk mencapai kebebasan dan kebiasaannya disebabkan oleh faktor penjajahan ke atas sesebuah negara seperti yang diberitahu oleh Encik Azmi Bahari.
Manakala, patriotisme ialah perasaan setia kepada negara dan Raja. Namun begitu, masih ada lagi contoh nasionalis kontemporari di Malaysia seperti dinukilkan dalam artikel “Pemikiran nasionalisme dan patriotisme dalam novel-novel terpilih Faisal Tehrani”, banyak novel- novel Faisal Tehrani yang memperjuangkan dan mengetengahkan idea nasionalisme sehingga beliau telah memenangi pelbagai sayembara menulis yang dianjurkan oleh kerajaan dan swasta. Oleh disebabkan itu, untuk menjadi seorang nasionalis tidaklah bermaksud kita perlu berada di barisan hadapan negara yang mepertaruhkan nyawa seperti askar atau polis namun melalui penulisan juga, kita dapat menterjermahkan rasa cinta kepada negara.
Berbalik semula kepada tajuk di atas, saya bersetuju dengan pendapat Encik Azmi Bahari bahawa rasis dan nasionalis perlu dilihat dalam konteks yang berbeza. Menjadi seorang nasionalis tidak semestinya menyebabkan seseorang itu menjadi rasis kerana cinta akan negara adalah suatu kemestian pada setiap individu atau warganegara. Manakala rasis ialah sifat yang terkeji dan sewajibnya dielakkan oleh setiap warganegara sebagaimana dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, “… dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan dan beramah mesra antara satu sama lain …”. Mungkin juga secara tidak sedar atas rasa cinta akan negara dan sifat nasionalisme yang telah tertanam ke dalam jiwa sehingga menyebabkan kita telah menjadi rasis secara impliedly terhadap kaum dan bangsa yang lain. Contohnya, tanpa sedar kita telah menghina bangsa lain dan negara lain tanpa justifikasi yang kukuh. Di Malaysia yang berbilang kaum pula, kita harus hormat antara satu sama lain dan mengetahui adat resam mereka supaya kita mengenali yang mana boleh kita jadikan gurauan dan yang mana boleh menganggu sesentiviti sesuatu kaum.
Selain itu, mungkin dari segi penambahbaikan boleh diberitahu juga tokoh-tokoh nasionalis dan akibat daripada sifat rasis menjadi seorang nasionalis yang berlaku pada zaman terdahulu atau kini secara lebih terperinci. Secara keseluruhannya, penyampaian daripada Encik Azmi Bahari membuka mata dan minda saya berkenaan nasionalis dan kaitannya dengan rasis serta setakat mana islam menerima nasionalisme. Akhir sekali, memetik kata kata penyampai , “menjadi seorang nasionalis tidak menjadi masalah asal meletakkan syara’ di hadapan dan bukan saling merendahkan kaum atau bangsa lain”.